Negara Ku, Tanah Tumpahnya Darahku, Memerdekakan bangsa dari pemimpin kayu, Mendaulatkan Islam tanpa segan silu, Memartabatkan agama dan bangsaku
Rabu, 11 Mei 2011
Masih dok rasa baguih
UMNO bakal menyambut ulangtahunnya yang ke-65. Dan dalam tempoh sambutan itu jugalah, maka akan kedengaranlah cerita-cerita manis tentang UMNO, tentang kejayaan UMNO, tentang jasa-jasa UMNO, tentang kehebatan UMNO dan tentang masa hadapan UMNO yang kononnya amat teguh dan perkasa.
Benarkah seperti yang dikatakan? Atau ia sebenarnya sekadar satu lagi cubaan untuk meruntuhkan UMNO sebagai salah sebuah institusi politik negara, seperti mana yang berlaku kepada PAS dan parti-parti Melayu yang lain di negara ini?
UMNO ditubuhkan di Kelab Sultan Sulaiman hasil gabungan idea 200 orang tokoh-tokoh Melayu daripada pelbagai aliran, fahaman dan fikrah politik. UMNO kemudiannya ditubuhkan secara rasmi di Istana Bukit Serene, Johor Bahru dan bermula dari tarikh itu, UMNO dikuasai oleh golongan elit, bangsawan dan jarang memijak tanah dengan telapak kaki!
Selepas pilihanraya tahun 1969, pilihanraya 2008 merupakan prestasi terburuk UMNO selaku parti utama dalam Barisan Nasional. Barisan Nasional kehilangan penguasaan majoriti dua pertiga dan sekiranya Barisan Nasional Sabah serta Sarawak tidak membantu, pastinya UMNO sudah pun menjadi pembangkang dalam parlimen di negara ini.
Namun, apa yang berlaku pada tahun 2008, rupa-rupanya tidak meninggalkan kesan yang besar kepada para pemimpin UMNO. Kebanyakan pemimpin UMNO masih lagi lena diulit tidur yang damai. Mereka masih lagi meneruskan amalan yang telah menyebabkan parti mereka hampir tercampak daripada Putrajaya. Mereka masih lagi berebut-rebut jawatan di dalam parti dan terlalu kurang berusaha untuk menyeret pemimpin-pemimpin dari parti komponen khususnya di Semenanjung untuk merapati para pengundi dan bakal pengundi.
Abdullah Badawi adalah Perdana Menteri TIDUR MALAYSIA yang paling terkenal. Pun begitu, setidur-tidurnya, Barisan Nasional masih lagi mampu menguasai lebih 130 kerusi Parlimen sekalipun bukan dua pertiga. Namun melihat kepada senario terkini, Najib Abdul Razak yang bekerja keras, bakal berhadapan dengan kehilangan kerusi Parlimen yang lebih banyak kerana Ahli-Ahli Parlimen UMNO ramai yang lebih sibuk mengira bini, gundek, duit dalam akaun dan projek yang boleh disapu selain jawatan di dalam UMNO.
Kesemua Perdana Menteri Malaysia naik kerana Perikatan yang kemudian bertukar nama kepada Barisan Nasional. Tanpa Barisan Nasional, tidak akan ada Perdana Menteri UMNO. Yang dapat dilihat sekarang ialah, kesungguhan Najib Abdul Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin untuk menarik sokongan kepada Barisan Nasional dan UMNO.
Malangnya, apa yang dilakukan oleh Najib dan Muhyiddin agak kurang mendapat sambutan dari kalangan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional, mahupun UMNO. Kebanyakan daripada mereka lebih senang mengambil sikap, 'tak apa, Najib ada'.
Tidak dapat dinafikan, Najib dan Muhyiddin memang popular kerana budaya turun padang mereka. Namun popular kedua-duanya adalah bersifat individu, bukannya membawa bersama UMNO dan Barisan Nasional. Bukan bermaksud kedua-duanya tidak berusaha membawa UMNO dan Barisan Nasional, tetapi sebaliknya UMNO dan Barisan Nasional yang enggan mengikut Najib dan Muhyiddin.
Di dalam UMNO ada Pemuda dan Puteri. Kedua-dua entiti ini sewajarnya menjadi penyambung serta penghubung dengan pengundi-pengundi muda. Namun sebanyak manakah Pemuda dan Puteri telah memainkan fungsi mereka?
Program yang diatur oleh Pemuda, tidak lain hanya untuk menunjukkan betapa kaya dan mewahnya pemimpin muda UMNO dengan kenderaan mewah yang harganya ada kalanya mencecah jutaan ringgit. Corak pendekatan yang dibuat pula hanyalah FUTSAL, bola sepak, karaoke dan segala macam yang seronok-seronok. Jangan tidak, masa kempen pilihanraya, barulah nampak muka ketuanya sibuk mengetuk paku di dinding rumah orang miskin.
Berapa kerat pemimpin muda UMNO yang benar-benar ingin melihat parti tersebut ditunjangi oleh golongan muda? Berapa kerat yang benar-benar turun ke padang dan melakukan sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakat, terutama golongan muda yang tidak pernah tahu tentang sejarah perjuangan serta jasa-jasa UMNO atau tidak kisah pun dengan apa yang telah dilakukan oleh UMNO?
Kalau ada pun, jumlah mereka boleh dibilang dengan jari. Umpama mencari jarum di tengah-tengah belukar, pemimpin muda UMNO sebenarnya lebih seronok hendak menunjuk kuasa, bahkan seringkali mengancam untuk memecat keahlian para pengkritik mereka.
Terlalu banyak sebenarnya sikap yang mendatangkan kebencian kepada para pengundi, ditunjukkan oleh para pemimpin UMNO. Sudahlah kebanyakan mereka tinggal di istana kayangan, kaki pula jarang memijak tanah, bahkan makan pun bersudu dan bergarfu emas.
65 tahun UMNO wujud, namun semenjak akhir-akhir ini, UMNO bagaikan lembu yang sudah sedia untuk disembelih dan dilapah terutama dengan kreativiti para pemimpinnya yang akan melakukan apa-apa sahaja asalkan mereka memperolehi jawatan di dalam UMNO dan kabinet.
Justeru, tidak perlulah bermegah-megah dengan pencapaian UMNO selama enam dekad, tetapi renungilah masa yang semakin suntuk untuk UMNO dikambus dan dikuburkan tanpa nisan angkara pemimpin-pemimpin UMNO sendiri!!!
Komen Sarjan :
Hakikatnya masih ramai yang dok rasa diri depa baguih sedangkan parti dah kalah di negeri sendiri! Bila kena tegur melenting nak mampuih! siap nak bakar bagi mampuih ! macam orang hilang akai dah mampuih! Ikut hati, jangan tegur biar pi.. pi mampuih!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan